(SASTERAWAN NEGARA)
DATO' NOORDIN HASSAN
NOORDIN HASSAN lahir pada 18 Januari 1929 di Jalan Ha-tin, Georgetown, Pulau Pinang. Ayahnya terkenal sebagai tukang karang boria yang telah memberikan sumbangan besar kepada perkembangan boria di Pulau Pinang. Pada akhir tahun 1930-an, Noordin memulakan perseko-lahan Sekolah Melayu Perak Road, Pulau Pinang. Kemudian, beliau mengikuti kelas peralihan Special Malay Class di Sekolah Inggeris Francis Light. Pada sebelah tengah hari hingga petang, beliau belajar mengaji al-Quran dan sekolah agama di Masjid Rawana di Perak Road.
Beliau tidak lama belajar di Sekolah Francis Light kerana pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Pada masa pendudukan Jepun itu, beliau sempat belajar bahasa dan nyanyian Jepun serta cerita dongeng Jepun yang diajar oleh seorang Jepun yang baik hati. Pengalaman ini mempengaruhi beliau sehingga beliau tertarik menonton filem Jepun dan berminat akan kesusasteraan Jepun sehingga ke hari ini. Setelah Jepun berundur pada tahun 1945, beliau meneruskan persekolahannya di Penang Free School. Di situ beliau mempelajari kesusasteraan Inggeris yang diajar oleh guru-guru Inggeris sendiri. Beliau lulus peperiksaan Sijil Per-sekolahan dengan cemerlang.
Pada tahun 1952, beliau belajar di Kirkby College, Liverpool untuk persiapan menjadi guru terlatih. Beliau mengambil seni lukis sebagai mata pelajaran khusus. Semasa di Kirkby, beliau mendalami kesusasteraan Inggeris dan Barat yang lain dengan mengkaji karya-karya Shakespeare, Sheridan, Goldsmith dan Mollerre. Selama di England, beliau berpeluang menonton drama-drama Barat, terutama karya Shakespeare.
Pada tahun 1953, beliau pulang ke tanah air, menjadi guru Seni Lukis dan Bahasa Melayu di Sekolah Perempuan Kampung Baharu, Alor Setar. Pada tahun itu juga, beliau mementaskan dramanya yang berjudul Tak Kunjung Kembali. Beliau semakin giat dalam bidang drama semasa mengajar di Sekolah Sultanah Asma dan Sekolah Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Selepas itu, ketika menjadi pensyarah di Maktab Harian Alor Setar (1957-1962), beliau telah menulis dan
mementaskan beberapa buah drama di samping tarian, boria dan
muzikal dengan para pelakonnya terdiri daripada penuntut maktab.

Pada tahun 1962, Noordin mengikuti kursus Pengajaran Bahasa dan Sastera Inggeris di Universiti London dan berpeluang menonton beberapa pementasan karya dramatis terkenal. Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1964, beliau menjadi penasihat Persatuan Drama, Maktab Perguruan Harian Alor Setar. Beliau telah mementaskan tarian Mas Merah dan Panji Semirang.
Dari tahun 1968 hingga tahun 1975, beliau bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Di maktab inilah lahirnya drama Bukan Lalang Ditiup Angin, Tiang Seri Tegak Berlima dan Pintu yang dipentaskan oleh para penuntut maktab tersebut.
Bukan Lalang Ditiup Angin yang dihasilkan sesudah peristiwa tragedi 13 Mei 1969 begitu berpengaruh sehingga pementasannya di Tanjung Malim dibawa ke Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Pementasan itu kemudiannya dibawa ke Kompleks Budaya Negara, disiarkan pula oleh Radio Televisyen Malaysia dan diterbitkan oleh majalah Dewan Sastera. Drama ini telah memenangi Hadiah Karya Sastera pada tahun 1972. Pada tahun 1976, Noordin bertugas di Maktab Perguruan Persekutuan, Jalan Notham, Pulau Pinang. Pada akhir tahun tersebut, beliau ke England buat kali ketiga, ke University of Newcastle kerana mengikuti Kursus Drama dalam Pendidikan. Ketika inilah beliau menyedari bahawa sudah sampai masanya penulis kita menulis sesuatu yang sesuai dengan keperibadian psikik orang Melayu.
Pada tahun 1978, beliau mementaskan drama Don't Kill The Butterflies dan The Journey yang dijayakan oleh guru-guru pelatih Maktab Perguruan Persekutuan di Gelugor. Drama Don't Kill The Butterflies kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan judul Jangan Bunuh Rama-Rama pada tahun 1982. Beliau bertukar ke Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur (1979-1984) sebagai pensyarah Bahasa Malaysia, Ilmu Pendidikan dan memberikan kursus kepada guru-guru dalam perkhidmatan tentang pengajaran bahasa melalui drama. Beliau dilantik menjadi penasihat persatuan drama maktab tersebut. Di samping itu, beliau juga bertugas sebagai pensyarah sambilan Kursus Penulisan Kreatif di Universiti Malaya (1980-1981).
Selain drama, beliau menghasilkan penulisan panto-mim untuk Musabaqah Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa dari tahun 1976 hingga tahun 1985. Beliau juga menulis dan mengarahkan pantomim untuk Sambutan Maulidur Rasul di Stadium Pulau Pinang. Pada tahun 1981, beliau menghasilkan dan mengarahkan drama 1400. Pada tahun itu juga,beliau membentangkan kertas kerja berjudul "Teater Fitrah" di Seminar Teater di Kuala Terengganu. Konsep teater fitrah ini telah pun diterapkan dalam karyanya Jangan Bunuh Rama-rama dan 1400.
Beliau kemudiannya menyertai Bahagian Skrip dan Cereka, Radio dan Televisyen Malaysia sebagai Pegawai Penerbitan Rancangan pada tahun 1984-1989. Ketika di sini, beliau sempat menulis skrip drama televisyen seperti "PJ" (1985), "Puteri Bongsu" (1986), "Hijab" (1986), "Dian" (1987) dan "Di Bumi Kita" (1987). Pada tahun 1987 juga Noordin telah menghasilkan Anak Tanjung, dan Cindai pada tahun 1988, dan diikuti oleh drama Peran (1991) dan Sirih Bertepuk Pinang Menari (1992). Beliau juga menulis drama Maria Setangginya?, Disentuh Bulan Pun, Selendang Umi dan Malam Ini Penyu Menangis yang kemudian-nya dimuatkan dalam kumpulan Maria Setangginya? (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000).
Sumbangan beliau dalam bidang drama telah diiktiraf melalui pelbagai anugerah. Pada tahun 1979, beliau telah dianugerahi pingat Ahli Mangku Negara (AMN), S.E.A. Write Award (1987), Anugerah Anak Tanjung oleh Y.B. Menteri Kewangan Malaysia (1992), Anugerah Sastera Negara (1993), dan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Dato' oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang (1994). Beliau yang sedang menikmati usia persaraannya kini merupakan seorang penulis bebas.
Dipetik dari naskah ''...demi zaiton...'' Kmpulan Drama Pilihan Noordin Hassan
Lena Farida Hussain Chin mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah (P) St. George, Pulau Pinang merupakan seorang calon PHD dalam bidang teater dan drama di USM. Anak jati Pulau Pinang ini merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kep) Penulisan Kreatif ASWARA, Ijazah Sarjana Muda (Kep) Seni Layar Universiti Teknologi MARA, Ijazah Sarjana Kesenian (Drama) Universiti Malaya, & Post Graduate Certificate di dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pengajian Tinggi dari University Roehampton UK.
Beliau telah menyertai UPSI pada tahun 2006 dan merupakan seorang pensyarah di Jabatan Seni Persembahan, Fakulti Muzik & Seni Persembahan. Berpengalaman lebih 20 tahun dalam drama, teater dan video telah membuka jalan ilmu yang luas kepada beliau.
Beliau berpengalaman luas di dalam pelbagai genre teater tradisional, moden dan pasca moden. Antara teater penglibatan beliau adalah MakYong RajaTangkai Hati, Bangsawan Puteri Sakdung, Raja Laksama Bentan, Bendahara Garang Perak, Sam Pek Eng Tai, Tragedi Rama & Sita, Durian Gergasi, Nyiur Gading Puncak Mahligai, Ribut, Bagaton, Puteri dari Mekah, Ana, Impian di Musim Panas, The Maids, Matinya Seorang Pahlawan, Teater Atas Pokok dan Iain-Iain.

Sebagai seorang aktivis teater, hasil kerja-kerja seni beliau selaku pengarah, penulis, pelakon, pereka artistik dan pengurus diekspresikan dari analisis dan hasil kajian. Antara karya-karya beliau yang pernah dipentaskan ialah Bangau Oh Bangau, Monolog Seorang Perempuan, Inkarnasi, Titik Semalam, Joseph Nuh, Katastrofi, Umbok, Syed Masyhor, Nur dan Yosephina. Selain itu, beliau juga sangat aktif dalam gerakan NGO antaranya Majlis Pendekar Malaysia, Pertubuhan Pendekar Malaysia, Pertubuhan Seni Kapi Warisan Malaysia, Pertubuhan Seni Kapi Wanita Malaysia, Gabungan Seni Warisan Anak Pinang dan Seniman Paksi Rakyat. Pada tahun 2013, beliau telah dianugerahkan sebagai Ikon Belia Bumiputera Pulau Pinang bagi kategori Seni dan Budaya.